Monday, 7 January 2013

KATA ALUAN PENULIS - SEDUTAN

[SEDUTAN KATA ALUAN E-BOOK POLIGAMI ANUGERAH TUHAN]

Bismillaa hirrahmaa nirra him.

Segala puji bagi Allah swt, Tuhan Pencipta sekalian alam. Tiada Tuhan yang selayaknya dan wajib disembah melainkan Allah swt. Selawat dan salamku sampaikan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, kepada keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan orang yang mengikut keseluruhan ajarannya sampai ke akhirat.

Dengan KeBesaranMU Ya Allah, dengan KeAgonganMU, dengan KeizinanMU, dengan KeJituan Al-Quran, dengan Berkat dan  Mukjizat serta Kemuliaan RasulMu Ya Allah, dengan keberkatan Sultan Aulia Syeikh Muhiyyiddin Abdul Qadir Al-Jailaini serta berkat para Aulia`, para Anbia dan melalui tarbiah guru-guruku, selesai sudah sebuah buku yang aku beri tajuk:

 Poligami Anugerah Tuhan”.

Harapanku semoga buku kecil yang tidak seberapa ini menjadi salah satu bahan bacaan berguna bagi sekalian pembaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan atau untuk membuat kajian dan mengulas dengan lebih lanjut tulisanku ini. Semuga ditakdirkanNya ada di antara pembaca yang bersedia menulis perkara yang aku huraikan dalam buku ini dengan memberi pendekatan lain atau ulasan penentangan yang positif dari sudut yang berlainan yang mungkin tidak aku ketahui atau yang tertinggal samada oleh aku sendiri atau ditinggalkan oleh penulis-penulis sebelumku. Apa yang penting adalah tidak semestinya penulis itu lebih mengerti sesuatu isu itu atau lebih baik daripada pembaca, tetapi jika bergabung tenaga dan ilmu pengetahuan dengan ikhlas dan merujuk kepada sumber asli Al-Quran dan Hadis,  insya`Allah akan membuahkan hasil yang terbaik.

Beberapa persoalan telah ditimbulkan padaku apabila aku berhasrat untuk menulis buku ini. Di antara persoalannya adalah seperti berikut:-

a.                  Kenapa kamu (iaitu “aku”) yang menulis buku ini?
b.                 Bukankah tajuk ini merupakan tajuk yang amat sensitif dan merupakan isu global yang masih belum mendapat jalan penyelesaiannya?
c.                  Apakah ulama sudah ketandusan ilmu atau apa sebenarnya hasrat kamu ?


(a)        Kenapa “aku” yang menulis buku ini?

Soalan ini timbul kerana ramai yang mengenali diriku sebelum ini adalah sebagai IT Consultant. Aku juga pernah menulis beberapa buku berkaitan dengan tajuk-tajuk teknikal komputer yang tidak ada sangkut paut dengan agama. Perasaan was-was mereka ini memanglah tidak dinafikan tetapi hakikatnya perkara yang berkaitan dengan ilmu keduniaan itu aku ambil sekadar fardhu kifayah sahaja dan tidak akan aku bebankan diri aku untuk mempelajarinya sehingga sia-sia perjalanan hidupku. Ulama (yang benar) berpendapat bahawa adalah salah (haram) mempelajari fardhu kifayah jika seseorang itu tidak selesai mempelajari fardhu `ain. Oleh itu aku hanya ambil sekadar yang perlu sahaja. Ada pula sesetengah pihak mendakwa, akhir zaman ini tiba-tiba ramai pula orang awam yang ingin jadi Ulama. Dakwaan ini biasanya dikeluarkan oleh pemimpin agama sendiri atau penguasa tempatan yang hakikatnya menolak syariat dalam diam. Pada zaman kegemilangan ilmu Tasauf dahulu, begitu ramai Ulama Syariat yang buta Hakikat menyalahkan golongan yang tulen (ahli kerohanian) ini. Hal ini adalah perkara biasa kerana pencapaian dalam ilmu Hakikat (kerohanian) tidak akan dicapai oleh akal dan pancaindera biasa. Ulama syariat tidak akan mampu memahaminya, sebab itulah ahli-ahli kerohanian selalu dituduh sesat dan sebagainya.

Masalahnya, di zaman sains dan teknologi ini ramai pula Ulama (pemimpin) kita bukan sahaja buta hakikat, malah mereka juga merupakan golongan yang buta Syariat!. Oleh itu, apabila ada pihak yang ingin mempertahankan kebenaran, maka golongan inilah yang akan mendakwa kita tiba-tiba ingin menjadi Ulama! walhal mereka berdiri di atas landasan yang menyimpang dari syariat dan hakikat Islam yang suci. Memanglah, sesuatu yang suci tidak layak dikecapi oleh jiwa yang kotor.

Urusan agama bukanlah perkara mainan, bukan perkara kedua atau sampingan dan bukan juga digunakan untuk meraih pangkat atau ditukar dengan habuan dunia. Setiap individu wajib memberi perhatian khusus perkara agama dalam segala sudut sebagai keutamaan untuk diamalkan dengan ikhlas. Jika perkara dunia yang dikejar ditakdirkan menjadi milik kita, halalnya akan dihisab dan haramnya akan diazab yang mana kedua-duanya tidak mampu ditanggong!  Oleh kerana pendekatan yang saya bawa dalam penulisanku ini agak berbeza dan tidak banyak dihidangkan pada pembaca atau mungkin “tidak pernah” ditulis secara terbuka menjadi sebab utama kenapa aku berminat untuk menulis buku ini. Insya`Allah aku akan cuba memberikan penjelasan terbaik, yang mungkin boleh menjadi pengajaran dan memberi kesan mendalam pada semua golongan pembaca. Oleh kerana kebanyakan buku yang berada dipasaran hampir semuanya ditulis dan dibahaskan oleh mereka yang bukannya pengamal poligami dan yang hanya pandai-pandai mengutuk ibadah poligami, tidak hairanlah pembaca tidak memperolehi sesuatu pun apa yang sebenarnya dicari. Tidak ada jalan penyelesaian. Tiada ilmu yang boleh dimanafaatkan bersama, malah terlalu banyak perkara diputarbelitkan dengan menggunakan logik akal yang bodoh untuk memesongkan syariat Islam. Akhirnya apa yang sedang berlaku ketika ini adalah seperti berikut:-


i.               Adat dijadikan sunnah.
ii.            Sunnah dikatakan bida`ah.
iii.          Bida`ah disyarakkan!. Na`uzubillah minzalik.

Telah ramai pula cerdik pandai, ahli-ahli tafsir, ulama-ulama terkemuka telah membicara isu ini melalui pelbagai pendekatan. Pelbagai ulasan, pendapat, ijtihad serta fatwa untuk menangani isu ini dikemukakan. Isu ini dipandang negatif TANPA memberi maklumbalas bagaimana perkara ini boleh menjadi positif dan menjadi ibadah tradisi dalam sesebuah keluarga dan menjadi budaya negara.

Persoalannya, mengapa mereka (cerdikiawan dan ulama) ini memberi ulasan berbeza. Di antara sebab mengapa ulasan mereka berbeza adalah seperti berikut:-

i.               Ulama itu sendiri tidak pernah mengharungi hidup berpoligami dan lebih bersifat berhati-hati. Mereka agak khuatir jika ulasan yang mereka berikan dijadikan pegangan sesetengah pihak secara taksub dan jahil.

ii.            Ramai juga dikalangan mereka berfikiran negatif. Kecemerlangan dan kekuatan akal yang dikurniakan dikerah supaya sentiasa mencari “bukti-bukti” untuk menentang  poligami. Mereka terpengaruh dengan persekitaran masyarakat yang hampir semuanya menentang poligami atau lelaki yang “takut bini”. Sebab itulah ramai lelaki yang nampak macam cemerlang dan terbilang, hakikatnya gagal (kecundang) dalam mengharung hidup berkeluarga walaupun hanya mengamalkan monogami.

iii.          Kononnya mereka ingin membela kaum wanita yang disangkakan lemah. Mereka selalu menganggap wanita adalah kumpulan kelas ke dua. Terhijab hati mereka untuk mengenal akan kehebatan dan keistimewaan kaum wanita yang sebenar.

Disebabkan beberapa perkara inilah menjadi punca utama mengapa sehingga kini kita tidak pernah dihidangkan satu pun bahan ilmiah yang mudah difahami atau boleh dijadikan rujukan. Kebanyakan pengamal poligami diserang dengan hukum-hakam dengan amaran mendapat seksaan pedih jika tidak adil, tidak mampu dan sebagainya. Diserang pula pada kaum wanita yang bermadu, dicucuk dengan pelbagai kejian, tomahan dan dianggap sebagai  perampas suami orang, perempuan bodoh dan sebagainya. Tentangan yang diterima kebanyakannya berkaitan dengan soal keadilan, kemampuan dalam soal pengagihan rezeki, pergiliran dan sebagainya. Setakat ini, kita belum memperolehi bahan ilmiah yang dapat menghuraikan kekusutan masalah ini dengan mudah dan jelas. Oleh kerana kebanyakan penulis adalah penentang poligami, maka mereka menentang poligami dengan menggunakan pelbagai alasan peribadi dengan mengambil nas-nas dan dalil-dalil yang sesuai dengan nafsu mereka sahaja. Matlamat mereka hanyalah sekadar untuk mereka-reka rintangan dan mencipta beban-beban. Sebenarnya mereka ini sangat cemburu, dengki dan tidak mengerti (terhijab) dari memahami apakah keistimewaan yang tersurat dan tersirat dalam kehidupan poligami.  Hakikatnya, Poligami Anugerah Tuhan pada hamba pilihanNya.

Kesimpulannya, orang yang tidak mengamal poligami janganlah mudah melatah atau berani mempertikaikannya. Adalah agak janggal kerana mereka (pengamal monogami) membicara sesuatu yang mereka tidak tahu dan tidak pernah alami atau mungkin tidak diberi peluang oleh Allah swt untuk menikmatinya walau sesaat. Macam mana seseorang itu mampu menceritakan tentang bulan sedangkan tidak pernah menjejakkan kaki naik ke bulan. Ini tidak lain hanyalah satu dusta sahaja.

Kepada pengamal-pengamal poligami, aku menyeru supaya sumbangkanlah ide dan khidmat nasihat untuk meleraikan kekusutan ini. Jangan biarkan orang-orang yang tidak arif membicara perkara ini dan terus menyimpitkan fikiran masyarakat. Anda tidak perlu menjadi seorang genius untuk menyampai perkara baik ini. Tidak perlu menjadi ulama besar, tidak perlu keluaran dari universiti-universiti pengajian agama terkemuka dari dalam atau luar negeri (kalau pengajianmu itu sekadar untuk ditukar dengan habuan dunia). Tidak perlu menjadi pemimpin-pemimpin agama atau pembesar-pembesar negara, tidak perlu menjadi Ustaz maupun Ustazah untuk menyampai berita murni ini. Jadilah diri anda sendiri. Berikanlah panduan pada masyarakat yang dahagakan kebenaran.

(b)    Bukankah tajuk kamu ini merupakan tajuk yang amat sensitif dan merupakan isu global yang masih belum mendapat jalan penyelesaiannya?

Seandainya tajuk ini sensitif, sudah pasti isu ini tenggelam begitu sahaja. Tetapi isu poligami dibicara hampir setiap saat, setiap golongan, setiap lelaki dan perempuan di setiap sudut di seluruh pelusuk dunia. Isu ini masih kekal dibicarakan kerana belum ada satu formula penyelesaian untuk menjadikan ibadah poligami sebagai tradisi sebagaimana yang telah diamalkan semenjak zaman datuk nenek moyang kita dahulu dan diamalkan di zaman Rasulullah saw, sahabat-sahabat baginda dan seterusnya  beribu tahun yang lampau. Oleh itu bacalah buku ini dalam suasana tenang, insya`Allah perkara ini  bukanlah isu sensitif lagi. Kalau ada di antara tulisanku yang tidak difahami, tanyalah dan rujuk  pada para guru-guru kamu yang arif. Bertanyalah datipada hanya dan hanya  pada guru-guru yang berpengalaman dalam kehidupan poligami sahaja supaya anda tidak akan sesat jalan kerana yang lainnya hanyalah palsu dan dusta.

(c)    Apakah ulama sudah ketandusan ilmu atau apa sebenarnya hasrat kamu ?

Pada pendapatku, soalan inilah yang sensitif, bukanlah tajuk buku ini! Sebenarnya, sudah terlalu banyak buku diterbitkan dan ditulis oleh ulama dari dahulu hingga sekarang. Buku yang aku susun ini hanyalah satu perkara yang amat kecil sahaja jika dibandingkan dengan karya agong mereka. Malah, jika selepas ini diterbitkan lagi berjuta-juta buku berkaitan dengan poligami, sudah pasti tidak akan habis-habis dibicarakan. Ini bermakna, ulama bukanlah  ketandusan ilmu. Tidak ada sesiapa yang mampu membicara soal ini secara keseluruhan. Mungkin juga gaya penulisan yang berbeza, kerana ulama juga berbeza. Ada Ulama benar (akhirat) dan ada Ulama jahat (su`i).  Ulama yang benar akan menyampaikan perkara yang benar dan bertepatan dengan syarak, manakala ulama jahat pula akan senentiasa memutarbelitkan fakta. Terpulang pada pembaca untuk menilaikannya. Hakikatnya, ulama yang benar lagi zuhud adalah ibarat suatu barang yang telah hilang di atas muka bumi ini. Sekiranya boleh ditemui, golongan ini hanyalah terdiri daripada para guru-guru pondok, guru-guru kerohanian, ahli-ahli sufi yang menerima Pusaka Wali Agama Islam iaitu pusaka Iman , Islam dan Ihsan di atas segala makna dan makninya serta juzuk-juzuknya melalui Rabitah dan Wasilah perguruan (hubungan) yang tidak terputus sehinggalah kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw sahaja. Mereka pula bukanlah pilihan masyarakat untuk dijadikan pemimpin kerana tidak sesuai dengan tuntutan nafsu yang menular dalam jiwa manusia keseluruhannya. Dalam lain perkataan, adalah terlalu sukar untuk menemukan pemimpin masyarakat yang tergolong sebagai ahli kerohanian, ahli sufi yang benar lagi zuhud serta sanggup dan berani menerima Islam keseluruhannya sebagai amalan diri, serta berikhtiar untuk menjadikannya sebagai peraturan dalam kehidupan manusia sejagat tanpa mengubahnya walaupun satu ayat.
Setinggi-tinggi penghargaan aku ingin ucapkan kepada semua guru-guruku samada yang masih hidup atau yang telah kembali ke rahmatullah, kepada isteri-isteri dan anak-anakku yang sentiasa memberi dorongan dan menjadi sumber inspirasiku, sahabat-sahabat handaiku samada kawan dan lawan dan setiap mereka yang pernah memberi komen, pandangan, terguran dan juga harapan untuk menjayakan penulisanku ini.

Untuk melengkapkan penulisan ini, aku sajikan kes-kes studi yang terdiri beberapa cerita teladan iaitu kisah benar berdasarkan pengalaman-pengalamanku sendiri atau pengalaman rakan-rakan, sahabat handai lelaki maupun perempuan.  Sebagai insan biasa yang tidak terlepas dari kejahilan, kesilapan dan kelemahan, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat perkara yang menyalahi syarak yang tidak aku sengajakan atau masih jahil dalam babnya. Aku bermohon jasa baik pembaca yang terperasan mana-mana kesilapan supaya membetulkannya semoga pembaca lain akan memperolehi pengetahuan yang benar. Segala kerjasama dan sokongan yang telah dan akan diberikan, aku dengan rasa syukur dan rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak. Aku berdoa kehadrat Allah swt semoga Allah swt sentiasa merahmati kita semua, ditetapkan dan dikembalikan semula padaNya dalam keadaan kekal berada di dalam Iqtikad yang tepat (Khusnul Khatimah), Syariat yang sohih dan Ubudiyyah yang sempurna. Amin, Amin ya Rabbal`alamin.

Penulis:

Dato` Md.Lutfi Bin Yusof

@ TABUT SAKINAH

No comments:

Post a Comment

POLIGAMI ANUGERAH TUHAN

Assalamu`alaikum dan Selamat Sejahtera kepada semua pelawat yang dimuliakan.,

Terimakasih kerana sudi meluangkan masa melayari laman blog ini. Alhamdulillah. Adapun antara matlamat blog ini adalah untuk membincangkan isu-isu semasa berkaitan ibadah poligami yang tidak pernah lari dari pemasalahan serta mencari jawapan atau jalan penyelesaian bagaimana menangani sesuatu isu itu berlaku. Masalah yang paling popular disuarakan adalah keadilan dan giliran. Kita biasa dengar orang berkata, ulamak-ulamak berkata, pegawai-pegawai agama berkata:-

' Kita hendaklah berlaku adil apabila kita mempunyai lebih dari seorang isteri ' ,

Malangnya mereka TIDAK pernah memberi panduan bagaimana untuk berlaku adil. Cakap memanglah senang tetapi untuk melaksanakannya bukanlah semudah itu, lagi pun mereka tidak ada langsung pengalaman walaupun sesaat. Ini bermakna kalau seseorang itu tidak berpengalaman, memanglah tidak akan mampu memberi petunjuk jalan keluar untuk menangani isu ini walaupun mereka itu seorang Al-Hafiz , penghafal ribuan kitab dan sebagainya. Hakikatnya mereka masih jauh lagi untuk memahami selok belok pengendalian dalam soal ibadah poligami ini. Di sini bukanlah bermaksud untuk merendah-rendahkan ilmu pengetahuan mereka, tetapi hakikatnya orang yang tak berpengalaman memang tidak sesuai untuk dijadikan rujukan dan mereka tidak akan berjaya untuk menyelsaikan masalah manakala pihak penguasa pula asyik menentang dengan pelbagai hukum hakam yang bercanggah dengan peraturan yang turun dari langit.

Apa yang dibicarakan dalam blok ini sekadar usaha kecil Tuk untuk mencari jalan penyelesaian, bukanlah untuk berbalah maupun menghina mana-mana pihak tanpa jalan penyelesaian. Mana-mana bahagian yang dikatakan tidak betul, maka Tuk akan gantikan apakah yang betul berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya, bukan sekadar komen lepas itu biarkan tergantung. Antara tujuan utama blog ini juga adalah sebagai penghargaan kepada semua pembaca dan pelawat yang telah banyak memberi komen positif dari pelbagai sudut tentang buku ebook saya yang bertajuk Poligami Anugerah Tuhan. Dalam penulisan ini, saya detailkan konsep dalam perkahwinan bukanlah tujuan menggalakkan orang lelaki berpoligami, atau mewar-warkankan kaum wanita yang menyokong poligami, tetapi lebih kepada mencari bukti dalil dan fakta berdasarkan syarak kenapa seseorang itu tidak layak sama sekali menjalankan ibadah poligami supaya tidak teraniaya mana-mana pihak samada lelaki mahupun wanita.

Buku ebook itu juga mengulas dengan agak detail (pada pendapat Tuk) akan kepincangan undang-undang dan peraturan syariat Islam yang moden berlandaskan amalan Thoghut, yang mana boleh jatuh kepada iqtikad kufur bagi sesiapa yang mengamalkannya atau memperakuinya sebagaimana yang telah dikufuri, dikafiri oleh Al-Quran dalam Surah Al-Maidah ayat 44,45 dan 47 sebab menetapkan sesuatu peraturan yang tidak ada dalam Al-Quran khususnya dalam soal ibadah poligami. Kebanyakan peraturan ditetapkan berdasarkan takwil yang berlebihan atas desakan dan kepentingan pihak tertentu, maka saya kemukakan jalan penyelesaiannya dan cuba merungkaikan beberapa kekeliruan yang telah lama diracuni dalam fikiran umat Islam. Sesungguhnya usaha ini bukanlah mudah, beberapa tentangan biasa diterima daripada pelbagai pihak, kutukan dan tomahan itu adalah makanan harian Tuk sepanjang memperjuangkan pendirian Tuk dalam soal ibadah poligami ini. Sungguhpun begitu, tidak dinafikan bahawa, hakikatnya terlalu ramai yang menyokong penulisan saya ini dan sama-sama cuba berusaha membasmikan perkembangkan bida`aah mungkar dalam urusan ibadah poligami ini dengan cara masing-masing.

Tuk tidak hairan mengapa pergolakan ini boleh berlaku. Memang sukar untuk menyatakan dan melaksanakan kebenaran dewasa ini, susah untuk memberi kefahaman pada jutaan umat Islam terutama di Malaysia ini. Lebih teruk lagi, mufti-mufti di negara ini yang bilangannya berapa orang sahaja tidak pernah bersatu dalam ertikata yang sebenar untuk sama-sama memperjuangkan dan mendaulatkan undang-undang Islam yang tulen tanpa sebarang pertambahan, pertukaran dan pencerobohan. Akhirnya mereka tidak mampu menerima tekanan lalu menyerahkan urusan agama di bawah kuasa pendapat majoriti atau kuasa politik lalu menjadi mangsa sebagai pemberi fatwa yang tidak mengikut lunas-lunas Islam yang sebenar, dikhuatiri dipaksa meletakkan jawatan dan sebagainya. Dengan ini, jika ternyata timbul apa-apa yang menyeleweng dari nas, kepala muftilah yang dibebankan!..

Untuk pengetahuan pelawat, buku e-book bertajuk Poligami Anugerah Tuhan ini sebenarnya telah lama berada di pasaran dan ramai telah membacanya. Oleh kerana Tuk dapati sejak kebelakangan ini, isu poligami muncul semula didebat dengan hebat, maka tuk mengambil peluang untuk cuba mewar-warkan semula kehadiran e-book bertopik panas ini dengan pertambahan berapa isu serta memperbaiki beberapa kelemahan terdahulu.

Pertanya yang pernah Tuk terima:

"Siapakah penulis ini yang begitu berani mempromosi buku bertajuk panas ini?"

Soalan ini penting dan perlu saya jawab kerana pembaca atau pembeli e-book ini berhak untuk pastikan supaya apa yang disampaikan adalah benar dan menepati hukum syarak, bermakna berbaloi melaburkan wang mereka (walaupun hanya dengan nilai yang terlalu kecil). Sesungguhnya bermula perkara yang kecil itu selalunya memberikan nilai pulangan yang besar. Selaku penulis, sudah lama Tuk menyediakan jawapan bagi soalan seumpama ini dan boleh dibaca sedutan e-book ini dari masa ke semasa melalui blog ini. Bacalah beberapa keratan intipati ebook ini sebelum membuat keputusan membelinya.

Tuk bukanlah seorang yang popular dan bukanlah 'public figure', itulah harapan saya, tetapi Tuk kena juga lakukan tugas ini untuk menyampai pengetahuan ini kerana sukar mencari penulis berpengalaman luas dan sanggup menulis dengan pendedahan yang berani dan benar. Tuk mengambil tugas ini sebagai fardhu kifayah berdasar pengalaman luas saya dalam mengharungi kehidupan berpoligami setelah sekian lama. Untuk memastikan supaya susunan ebook ini kejab dan padu (pada pandangan saya), maka Tuk integrasikan konsep penulisan ini dengan sulaman ilmu Tauhid, Fiqh dan Tasauf. TANPA integrasi ketiga-tiga cabang ilmu ini maka ianya tidak sah dari segi syarak dan mudah bagi pihak lain mempertikaikan penulisannya walaupun penulis itu merupakan seorang yang sangat disegani dan tersohor di mata dunia.

Sebagai contoh, jika anda membaca sebuah buku bertajuk Sakaratul Maut tulisan penulis terkenal dari Timur Tengah, bukunya sudahpun berada dipasaran dalam bahasa Malaysia, malangnya ianya jauh dari sudut kerohanian. Hanya orang awam sahaja yang memandang buku ini penuh dengan isi, tetapi bila dikaji secara aliran tasauf, buku ini mengelirukan dan cuba menyesatkan umat Islam. Contohnya, jika dibaca pada bahagian akhir buku tersebut, penulis merendahkan mertabat seorang ahli sufi wanita yang agong iaitu Rabi`ahtul Al-Adawiyyah dengan mengatakan pegangan wanita sufi ini sesat atau bercanggah dengan Al-Quran dengan hanya berlandaskan nas dari Surah Al-Imran ayat 152, sedangkan pegangan wanita sufi ini adalah sama dengan pegangan ahli-ahli kerohanian bermula seawal zaman kebangkitan Islam di bawah pimpinan agong Sayyidul Akhwan Suratul Maadati Tajaaliyatil Haq Nabi Muhammad Rasulullah SAW sehinggalah sekarang. Ini merupakan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan Jazam yang putus tanpa syak, dzan dan waham. Bagi golongan awam, walaupun memiliki pengiktirafan dengan pelbagai bidang keilmuan tetapi masih belum pernah menduduki atau menceburi aliran kerohanian dan kesufian, maka janganlah mudah menuduh golongan sufi atau tasauf dengan fahaman yang bukan-bukan. Selidikilah diri sendiri dahulu sebelum berani menyentuh fahaman aliran-aliran kesufian ini, kerana itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah akan merendahkan dan meletakkan mertabat anda ke lembah kehinaan, jahil di sisi mansia, kufur di sisi Alalh swt, jahil di dunia dan buta di akhirat. Allhu`akbar.

Akhirkata, Tuk memohon kepada pembaca yang dihormati, sekiranya terperasan terdapat mana-mana susunan saya ini menyimpang, maka segeralah menegur tuk.

Emelkan maklumat tuan puan pada Tuk pada alamat emel : anugerahtuhan63@gmail.com

Terimakasih.

Tuk Lutfi Yusof